Rabu, 07 Februari 2024

Mahkamah pulangkan sementara pasport Muhyiddin untuk ke Bangkok - Malaysiakini

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan permohonan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan semula pasportnya secara sementara untuk ke Thailand pada 15 Februari ini.

Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan itu hari ini.

Pasport Muhyiddin ditahan selepas dia berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta.

Pada 31 Januari lalu, dia memfailkan permohonan untuk mendapatkan semula pasportnya secara sementara untuk ke Bangkok, Thailand atas tujuan menziarahi ahli perniagaan Malaysia di sana yang akan menguntungkan hubungan dua hala kedua-dua negara, sekan melawat beberapa pemimpin, pemikir dan tokoh masyarakat Islam.

Dia juga berkata diundang melancarkan sebuah restoran masakan Thai bernama Phrigkiao, milik kenalan rapatnya yang juga rakyat Malaysia.

Menurut afidavit sokongannya, pengerusi PN itu berkata dia ingin ke sana selama lapan hari, iaitu sehingga 23 Februari.

Bagaimanapun pendakwaan membantah permohonan itu, antaranya atas dasar Muhyiddin tiada keperluan mendesak untuk ke Thailand.

Dalam prosiding hari ini, Azura membenarkan Muhyiddin mendapatkan semula pasportnya sehingga 23 Februari dan berkata Muhyiddin tiada risiko untuk meninggalkan Malaysia bagi mengelak perbicaraan mahkamah.

Katanya, walaupun sebab yang dinyatakan Muhyiddin tidak mendesak, mahkamah ada budi bicara yang luas untuk memulangkan semula pasport secara sementara mengikut keadaan.

"Walaupun ada sekatan perjalanan terhadap pemohon, tidak wajar untuk menghalangnya daripada terus menjalani kehidupannya, selagi dia belum disabit bersalah," katanya kepada peguam Muhyiddin, Amer Hamzah Arshad dan timbalan pendakwa raya Nuralis Mat.

Pada 29 Disember tahun lalu, mahkamah sama turut memulangkan sementara pasport Muhyiddin untuk bercuti di London dan membuat pemeriksaan kesihatan di Singapura, namun menolak permohonan agar pasport dipulangkan secara kekal.

Muhyiddin berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada kegiatan haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Dia juga berdepan satu lagi pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM5 juta daripada kegiatan haram.

Adblock test (Why?)


https://news.google.com/rss/articles/CBMiKGh0dHBzOi8vd3d3Lm1hbGF5c2lha2luaS5jb20vbmV3cy82OTU2NjbSAQA?oc=5

2024-02-08 03:33:11Z
CBMiKGh0dHBzOi8vd3d3Lm1hbGF5c2lha2luaS5jb20vbmV3cy82OTU2NjbSAQA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar